IPOH : Adun Behrang Aminuddin Zulkipli gagal mempertahankan jawatannya sebagai ketua Amanah Tanjung Malim apabila tewas dalam pemilihan semula yang diadakan semalam.

Beliau juga tewas dalam persaingan bagi jawatan anggota jawatankuasa kawasan itu, apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok 15 undian tertinggi daripada 20 calon yang bertanding.

Menurut sumber, keputusan pemilihan mendapati Aminuddin hanya meraih 20 undi daripada 58 perwakilan.

“Ia menyebabkan beliau tidak layak untuk dilantik semula sebagai ketua mahupun kepimpinan di peringkat kawasan,” kata sumber yang enggan disiarkan namanya hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Perak Akhiruddin Taib mengesahkan keputusan tersebut.

“Beliau (Aminuddin) kalah tipis apabila berada di tempat ke-16 dalam pemilihan tersebut,” katanya ketika dihubungi

Aminuddin merupakan anggota jawatankuasa Amanah Perak dan timbalan speaker DUN negeri itu.

Pemilihan tersebut juga menyaksikan Pengarah Pembangunan Kepimpinan Pemuda Amanah Nasional, Khairol Najib Hashim dipilih sebagai ketua Amanah Tanjung Malim, menjadikan pemuda berusia 27 tahun itu sebagai ketua Amanah kawasan paling muda.

Bagi jawatan ketua kawasan, 15 pemimpin yang menang untuk kerusi anggota jawatankuasa akan mengadakan mesyuarat untuk membuat pemilihan di kalangan mereka.

Sebelum ini, Khairol yang merupakan setiausaha sulit timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad ialah ketua pemuda Amanah Tanjung Malim.

Jawatan timbalan ketua kawasan pula dipegang Khalili Kasim, manakala Dr Fauziah Hanim dan Sobri Abd Rahman dilantik sebagai naib ketua.

Aminuddin merupakan seorang lagi pemimpin Amanah peringkat negeri yang gagal mempertahankan kedudukan dalam pemilihan kali ini, selepas Timbalan Pengerusi Amanah negeri, Muhammad Nizar Jamaluddin ditimpa nasib sama di Gopeng.

Nizar kemudian memilih untuk tidak bertanding dalam pemilihan semula yang diadakan.

Selain itu, beberapa tokoh berprofil tinggi parti itu juga kecundang dalam pemilihan kali ini, antaranya Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil di Permatang Pauh dan Ketua Wanita Dr Siti Mariah Mahmud di Puchong.

Terdahulu, sebahagian besar Amanah kawasan di seluruh negara terpaksa membuat pemilihan semula selepas mesyuarat yang diadakan sebelum ini dibatalkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), atas sebab masalah teknikal.