JOHOR BAHRU: Kesemua 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Johor (BERSATU) Johor menafikan ada antara mereka akan meninggalkan parti bagi menyertai pembangkang.


Mereka ketika dihubungi media, menafikan dakwaan yang tular di media sosial sejak malam tadi dan menganggap ia khabar angin yang langsung tidak kebenaran.


10 ADUN BERSATU Johor itu adalah Mazlan Bujang (Puteri Wangsa) yang juga Pengerusi BERSATU Johor; Mohd Solihan Badri (Tenang) yang juga Setiausaha BERSATU Johor; Datuk Osman Sapian (Kempas); Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bukit Kepong) dan Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai).


Turut menafikan adalah Mohd Izhar Ahmad (Larkin); Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (Permas); Rasman Ithnain (Sedili); Rosleli Jahari (Johor Lama) dan Alwiyah Talib (Endau).


Sejak malam tadi tular di media sosial, tiga ADUN BERSATU Johor akan mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyertai pakatan pembangkang.
Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu), Bebas (satu) sementara AMANAH (9) dan PKR pula (empat).


Perikatan Nasional (PN) Johor memiliki 29 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) Johor mempunyai 27 kerusi.
Sementara itu, Mazlan menegaskan kesemua 10 ADUN BERSATU Johor kekal menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada Jun lalu, selain taat dan setia pada parti.


“Mana ada ADUN BERSATU Johor keluar parti. Tak benar sama sekali. Kalau lompat maka terbubarlah Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Namun, hari ini tiada apa-apa berlaku pun dan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) berjalan seperti biasa.


“Kesemua ADUN BERSATU Johor kekal taat setia pada titah Sultan Johor yang bertitah meminta perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri ini tidak diteruskan, jika tidak mahu DUN dibubarkan,” katanya.
Jun lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah, baginda berasa amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini.


“Jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta-merta,” titah baginda.
Mazlan menyifatkan khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab mengenai ADUN BERSATU itu adalah mainan politik semata-mata.


“Biasalah, bila ada ura-ura Pilihan Raya Umum (PRU) mahu diadakan akan timbullah pelbagai dakwaan, ahli keluar partilah, cawangan dibubarkanlah, ” katanya. -BH