Oleh: Aida Aziz

IPOH: Sebuah institusi pendidikan dan kemahiran wajar diwujudkan di Chenderoh bagi mengubah wajah kawasan itu selain mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor berkata, kewujudan institusi pendidikan di situ dilihat mampu mempertingkatkan pembangunan ekonomi dan menambah peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

“Banyak tanah yang belum dibangunkan di Chenderoh dan pada pendapat saya, jika kerajaan negeri dapat mewujudkan institusi pendidikan di sini, maka suasana di sini akan lebih rancak dan ceria dengan pelbagai aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Enakmen Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Membahaskan usul yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, beliau turut mencadangkan supaya lebih banyak monumen dan tarikan bercirikan pelancongan dibangunkan di Chenderoh.

“Selama ini Chenderoh terkenal dengan Empangan Chenderoh yang tertua di Malaysia dan tasik itu juga penting bagi kegiatan pelancongan, pengairan, perikanan serta penjanaan kuasa hidroelektrik.

“Jika ada tarikan lain diwujudkan di sini seperti yang ada di Jambatan Victoria, kita dapat mencipta pelbagai produk pelancongan dan membuka peluang kerja kepada anak muda,” katanya.