IPOH – Kerajaan Perak didesak supaya tidak menjual Ladang PT Pinang seluas 15,000 hektar dengan tanaman sawit milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Palembang, Indonesia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Khusairi Abdul Talib yang mendedahkan perkara itu berkata, difahamkan kerajaan negeri sedang berusaha untuk menjual ladang PT Pinang kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia secara rundingan terus dan dijangka akan dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, sejak lebih 10 tahun lalu, hasil sawit dari ladang PT Pinang banyak membantu operasi SADC Perak, termasuk pembayaran gaji pekerjanya.

“PT Pinang diletakkan di bawah Ladang Lekir Sdn Bhd, sebuah anak syarikat PPPNP. Saya pernah menjadi Pengerusi Ladang Lekir selama sembilan tahun, sejak 2009 hingga 2018 dan telah beberapa kali pergi melawat ladang PT Pinang.

“Ladang Lekir memegang 60 peratus pemilikan dalam PT Pinang, sementara 40 peratus lagi milik persendirian seorang warga Indonesia. Tempoh pemilikan masih berbaki selama 32 tahun,” katanya menerusi satu hantaran di dalam Facebook, hari ini.

Khusairi berkata, PT Pinang pernah menghasilkan pendapatan bersih di antara RM20 juta hingga RM25 juta setahun ketika harga sawit tinggi di pasaran malah difahamkan hasil bersih ketika ini ialah RM1.2 juta sebulan.

Katanya, pada tahun 2007, nilaian ladang tersebut berjumlah sekitar AS$230 juta (RM946 juta) ke AS$250 juta (RM1.03 billion) namun harga yang ditawarkan kepada syarikat Bursa Malaysia itu antara AS$120 juta (RM493 juta) ke AS$130 juta (RM534 juta) yang mana jauh menyusut jika dibandingkan dengan nilaian pada dua tahun lalu.

Beliau berkata, sekiranya benar keputusan menjual ladang itu dibuat, kerajaan negeri perlu menjawab beberapa persoalan antaranya mengapa penjualan ladang itu dilakukan secara rundingan terus, tidak dibuat secara tender terbuka untuk mendapatkan harga yang lebih baik.

“Adakah penjualan ini telah dibincang dan diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak kerana ia berkaitan dengan kepentingan umum melibatkan sumber pendapatan negeri Perak?

“Kenapa penjualan hendak dibuat ketika harga sawit berada pada paras rendah dan adakah wujud salah laku dalam proses penjualan sehingga menyebabkan harganya merosot lebih 100 peratus berbanding 2017?” katanya menerusi hantaran itu lagi.

Dalam pada itu, Khusairi turut meminta kerajaan negeri mengambil kira nasib pekerja-pekerja PPPNP terhadap penjualan ladang tersebut kerana selama ini gaji mereka banyak bergantung kepada hasil pendapatan dari ladang PT Pinang.

Beliau berharap aset kerajaan Perak tidak terjual sebagaimana keghairahan aset negara yang dijual dengan rakus oleh Kementerian Kewangan.

“Aset-aset itu hasil perahan fikiran yang dilakukan oleh para pemimpin BN terdahulu untuk kepentingan rakyat dan meningkatkan hasil negeri dan negara.

“Jangan pula kerajaan Pakatan Harapan (PH) semudahnya menjual untuk mendapat keuntungan jangka pendek,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian telah mendapatkan maklum balas mengenai pendedahkan itu daripada pihak pengurusan PPPNP.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut sebaliknya menyerahkan kepada Pengerusi PPPNP yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mengeluarkan kenyataan media.

PPPNP telah diperbadankan pada Februari 1973 hasil mesyuarat antara Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Kamaruddin Mohd Isa dengan ahli mesyuarat kerajaan negeri Perak.

Sejajar dengan keputusan tersebut, penubuhan perbadanan telah diwartakan di dalam Enakmen Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak bil. 2 tahun 1973 (asal),pin.9 (1974) dan pin. bil 7 (1981) dan mula beroperasi pada tahun 1974.

Pada awal penubuhan, PPPNP bermula dengan tanaman kelapa sawit dan getah selain tanaman kontan seperti ubi kayu di Ladang Ayer Kuning pada tahun 1978.

Akibat penurunan harga pasaran getah dunia pada tahun 1975, PPPNP telah menumpukan kepada pembukaan ladang kelapa sawit.

Hasil daripada usaha gigih pihak pengurusan dan warga kerja, PPPNP kini telah memiliki 25 ladang kelapa sawit termasuk sebuah ladang yang terletak di Palembang, Indonesia.

Di samping itu juga PPPNP mempunyai dua kilang memproses sawit yang terletak di Kampung Gajah, Perak dan juga di Palembang, Indonesia.

 

-SinarHarian