GEORGETOWN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dari PKR, Dr Afif Bahardin, meletak jawatan sebagai EXCO Kesihatan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, selepas pertemuan dengan Afif jam pada 8.15 pagi ini.

Mesyuarat EXCO Pulau Pinang menerima peletakan jawatan itu.

Bagaimanapun, belum jelas sama ada Afif akan mengekalkan jawatannya sebagai ADUN.

Peletakan jawatan itu berlaku selepas bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu menegaskan akan kekal dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang dalam pilihan raya umum lalu.

Afif adalah antara penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin bersama 10 ahli parlimen lain meninggalkan PKR untuk menyertai BERSATU, BN dan PAS menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.