GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima daripada DAP, Syerleena Abdul Rashid, membuat laporan polis selepas menerima nota ugutan bunuh, semalam.

Ugutan ditulis di atas sekeping kertas itu didakwa ditemui di dalam peti surat pusat khidmat wakil rakyat berkenaan di Taman Seri Delima, di sini, kira-kira jam 3.30 petang.

Nota tertera perkataan ‘Maut Menanti Kamu’ tulisan tangan itu menggunakan pen berdakwat merah.

Syerleena berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Jelutong pada jam 7 petang selepas mengambil kira risiko keselamatan diri dan ahli keluarganya.

“Ini kali pertama saya menerima nota berbaur ugutan bunuh. Biasanya, saya hanya menerima ugutan dalam laman sosial tetapi ini adalah kes serius.

“Saya berharap polis dapat segera melakukan siasatan dan menahan individu yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Syerleena berkata, beliau turut membuat laporan di balai polis sama, semalam, berhubung kenyataan fitnah oleh beberapa pemilik akaun Facebook mengenai dirinya.

Katanya, kenyataan mendakwa beliau antiIslam dan ingin meruntuhkan institusi keagamaan itu adalah sangat tidak berasas dan sengaja diadakan semula bagi menimbulkan keresahan masyarakat.

“Fitnah yang mendakwa saya antiIslam dan antiMelayu sudah bermula sejak Mac tahun lalu. Ia kembali semula pada Ogos tahun lalu, ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan terbaru pada minggu lalu.

“Saya mengesyaki nota ugutan bunuh itu adalah susulan kenyataan fitnah disebarkan pihak tidak bertanggungjawab terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan menerima laporan terbabit dan polis akan mengenal pasti individu menulis ugutan berkenaan menggunakan khidmat forensik.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah – berita harian