GEORGETOWN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, mengakui menerima tekanan daripada pelbagai pihak untuk meletakkan jawatan sebagai EXCO Kerajaan Pulau Pinang.

Dr Afif mendakwa menerima desakan meletak jawatan daripada kepemimpinan tertinggi parti di peringkat negeri dan pusat sejak pergolakan politik dalaman PKR berlaku.

“Saya memerhati sejak beberapa hari lalu dan saya percaya ada desakan daripada PKR di peringkat negeri dan pusat supaya kedudukan saya dikosongkan sebagai EXCO kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari ini.

Hadir sama isterinya, Dr Mardhiah Zakaria.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), mengumumkan peletakan jawatan Dr Afif sebagai EXCO Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, berkuat kuasa hari ini.

Dr Afif berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan selama 20 minit bersama Kon Yeow kira-kira jam 9 pagi tadi.

“Saya maklumkan dengan melihat kepada keadaan politik semasa ketika ini, saya pasti beliau juga akan mendapat tekanan daripada pelbagai pihak yang mahu melihat saya letak jawatan, maka saya mengambil pendekatan budiman kerana jawatan ini hanya sementara,” katanya.

Dr Afif yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh mengesahkan beliau masih ahli PKR sehingga Lembaga Disiplin parti menentukan sebaliknya.

Ditanya jika beliau bercadang untuk mengikut jejak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jika disingkirkan daripada PKR, Dr Afif belum memikirkan perkara itu.

“Saya tiada pendirian itu (keluar parti), tapi memang saya menerima banyak tawaran daripada parti politik,” katanya.

Ahad lalu, Dr Afif antara individu yang diserang penyokong PKR dalam kejadian di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, susulan pergolakan politik dalaman parti itu yang membawa perubahan tampuk kepemimpinan Kerajaan Persekutuan.

Februari lalu, Dr Afif menerima surat tunjuk sebab atas dakwaan melakukan sabotaj dengan terbabit dalam kekacauan pada Kongres AMK di Melaka, Disember lalu.