KUALA LUMPUR : Peguam Negara yang baharu Tan Sri Idrus Harun digesa supaya merujuk kembali kes-kes yang telah ditutup dan masih tidak selesai demi keadilan dan kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh, keadilan terhadap kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang harus ditegakkan setelah hampir dua tahun insiden yang meragut nyawanya terjadi, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Beliau berkata, kes-kes berprofil tinggi yang ditutup sebelum ini seperti kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Terowong Pulau Pinang harus diteliti semula demi keadilan rakyat Malaysia tanpa mengira politik kepartian.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Idrus Harun di atas perlantikan sebagai Peguam Negara Malaysia yang baru.

“DPIM meletakkan sepenuhnya harapan baru kepada Tan Sri Idrus Harun untuk menjalankan tugas sebagai Peguam Negara dengan beramanah, berintegriti dan adil untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada institusi badan perundangan di negara kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, pelantikan Idrus sebagai Peguam Negara yang baharu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Pelantikan itu adalah susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap permohonan Tan Sri Tommy Thomas yang memendekkan perkhidmatan beliau pada 28 Februari lalu. – MalaysiaGazette