MANJUNG: Agihan bakul makanan sumbangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) untuk Parlimen Lumut dijangka selesai selewat-lewatnya Isnin.

Pegawai Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, agihan telah dimulakan dan dijangka selesai esok atau Isnin.

“Kita semak senarai penerima terlebih dahulu untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan.

“Kita juga mahu memastikan tidak ada nama penerima yang layak tercicir dari senarai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulhisham berkata, prosedur itu mungkin telah menyebabkan berlaku sedikit kelewatan di dalam pengagihan bantuan tersebut.

Dalam masa sama, beliau tidak menafikan ia turut disebabkan timbul kekeliruan apabila berlaku perubahan kerajaan negeri yang menyaksikan khidmat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bakal ditamatkan 31 April ini.

Walaupun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta MPKK terus berkhidmat sehingga tarikh tersebut, namun Astro AWANI difahamkan ada di antara mereka mula tawar hati untuk meneruskan khidmat mereka.

Pada Jumaat, JKM mengesahkan telah mengagih sebanyak 300 bakul makanan di Lumut pada 14 April yang lalu.

Melalui satu kenyataan, jabatan itu memaklumkan pengagihan bakul makanan telah dijalankan dengan kerjasama pihak APM, RELA, JKR, Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) serta Majlis Perbandaran Manjung.

Kenyataan itu menyusul Tweet Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 12 April lalu yang menyatakan bahawa bantuan JKM untuk Parlimen Lumut masih ‘bertimbun’ dan tidak diagihkan.

Suara Perak difahamkan, agihan 300 bakul makanan itu adalah untuk penerima di Pulau Pangkor sahaja.