KUALA LUMPUR: Seorang pemikir dan penulis Islam terkemuka berkata beliau tidak terkejut dengan bantahan mufti negeri berhubung pengagihan zakat kepada orang bukan Islam, selepas Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah menyeru isu itu tidak diperdebatkan secara terbuka.

Ebrahim Moosa, profesor pengajian Islam di University of Notre Dame di Amerika Syarikat, yang menyokong cadangan yang dikemukakan Presiden PKR Anwar Ibrahim, baru-baru ini berkata beliau menjangkakan bantahan daripada ulama berhubung isu itu.

Namun beliau menyambut baik gesaan Sultan Sharafuddin supaya perdebatan mengenai perkara itu secara terbuka dihentikan dan berhasrat untuk berjumpa dengan sultan dan penasihat agama negeri itu bagi membincangkan topik zakat secara lebih lanjut.

“Saya sangat menghargai peluang untuk berbincang dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan majlis penasihat ulama berhubung hikmah tradisi fekah dan semangat Al-Quran dalam konteks sebuah masyarakat yang mengalami perubahan dan dinamik seperti di Malaysia.

“Ia akan menjadi satu perkembangan yang menakjubkan sekiranya sultan boleh memainkan peranan utama dalam memajukan inisiatif bersejarah itu,” kata Moosa

Semalam, Sultan Selangor memetik nasihat Mufti Selangor Mohd Tamyes Abd Wahid bahawa agihan zakat kepada bukan Islam hanya dibolehkan sekiranya ia menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf mu’allafati qulubuhum.

Zakat adalah kewajipan agama kepada umat Islam yang memenuhi beberapa kriteria kekayaan. Seorang Islam yang memiliki kekayaan melebihi jumlah minimum wajib membayar kadar tahunan sebanyak 2.5%.

Terdahulu, Anwar mencadangkan institusi zakat melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam semasa persidangan zakat anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan UiTM pada 30 Oktober. Beliau juga berkata cadangan itu memerlukan fatwa dan perubahan dasar.

Moosa, sarjana dari Afrika Selatan yang menerbitkan karya pemikiran dan etika Islam, falsafah dan kesusasteraan, menyokong cadangan itu tetapi mengatakan ia memerlukan lebih banyak kefahaman Islam dalam kalangan ulama Islam sekarang.

Beliau berkata pemberian zakat kepada bukan Islam adalah amalan yang bermula pada zaman dahulu, yang juga disokong pakar undang-undang syariah terkenal Yusuf al-Qaradawi.

“Ia merupakan langkah untuk menggalakkan orang Islam dan masyarakat umum supaya berfikir dari sudut tanggungjawab mereka terhadap orang serta penganut semua agama dan kepercayaan.

“Perkara inilah yang disebut oleh Al-Quran sebagai ‘jalan mendaki’ (aqabah) yang meliputi usaha memperkukuh kebebasan manusia dan pembelaan orang miskin,” kata Moosa.

Namun dalam satu kenyataan melalui setiausaha sulitnya semalam, Sultan Sharafuddin memberi amaran isu itu tidak boleh digunakan untuk meraih populariti atau untuk mengambil hati mana-mana pihak tertentu.

Moosa berkata beliau memahami kebimbangan sultan, sambil menambah ia adalah hak sultan untuk “mencadangkan apa yang difikirkannya terbaik dalam mempertimbangkan masa depan zakat kepada orang bukan Islam”.

“Cadangan oleh Anwar memerlukan perbincangan, perdebatan ilmiah dan pendidikan awam. Keutamaan Duli Yang Maha Mulia mungkin sesuai dengan beberapa tradisi di Malaysia tetapi ada juga tradisi lain yang lebih jelas mengenai perbincangan umum mengenai isu-isu penting yang dibolehkan oleh zaman digital,” katanya.

Moosa berkata objektif zakat adalah untuk kebaikan manusia yang lebih besar, berdasarkan prinsip kepentingan awam.

“Perdebatan tentang nilai zakat kepada masyarakat umum harus melibatkan pemahaman prinsip-prinsip Islam yang tinggi melibatkan kebaikan manusia dan apa yang membentuk maruah manusia,” katanya.