KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap 222 Ahli Parlimen untuk sesi temu bual peribadi bersama Seri Paduka.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata temu bual ringkas kira-kira dua ke tiga minit seorang bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Temu bual yang akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali itu, melibatkan dua kumpulan iaitu 90 Ahli Parlimen untuk sesi hari ini dan 132 lagi bagi sesi esok.

Ahmad Fadil berkata sesi temu bual pada hari ini dijadual bermula pukul 2.30 petang.

Ahmad Fadil berkata, kesemua Ahli Parlimen yang hadir tidak akan dibahagikan mengikut parti masing-masing kerana ia melibatkan individu.

“Semuanya akan dipanggil. Tiada yang terkecuali. Lepas itu, mereka akan dipanggil seorang demi seorang.

“Saya percaya ini yang pertama kali berlaku dalam peringkat Persekutuan. Seri Paduka Baginda ingin melaksanakan temuduga ini secara telus supaya media tidak membuat sebarang spekulasi. Kita akan berkongsi (maklumat perkembangan terkini) dari semasa ke semasa,” katanya.

“Apa yang dipraktikkan oleh Seri Paduka adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana Artikel 43 (2) menyatakan Baginda perlu mendapat kepercayaan, keyakinan seseorang yang telah dipilih dan ia adalah menerusi temu bual ini,” katanya.

Kepada soalan sama ada Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir pada sesi temuduga itu, Ahmad Fadil berkata : “beliau telahpun menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, jadi saya rasa itu tidak perlu”.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut bertitah bahawa keadaan negara ketika ini aman dan proses keamanan ini akan terus terjamin di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

— BERNAMA