KUALA LUMPUR, 18 DIS : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarahi Tun Rahah Mohmmad Noah, ibu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah hospital swasta pada Khamis.

Selain Seri Paduka Baginda, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menziarahi balu bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu.

Perkara itu dikongsikan oleh Ahli Parlimen Pekan menerusi laman sosial miliknya, malam tadi.

Sultan Perak berkenan menziarahi Tun Rahah di hospital swasta di ibu kota pada Khamis.

“Patik merafak sembah dan menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak atas perkenan Tuanku-Tuanku mencemar duli berangkat menziarahi bonda patik Tun Rahah yang berada di hospital untuk rawatan,” tulis beliau.

Terdahulu, yang turut menziarahi Tun Rahah di hospital tersebut adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga sempat meluangkan masa menziarahi ibu Najib.

“Mendoakan agar bonda beliau lekas sembuh dan kembali diberi kekuatan, insya-Allah,” tulis Ahli Parlimen Port Dickson itu di akaun Facebooknya.