KUALA LUMPUR: Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah oleh dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) ditangguhkan.

Dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijadualkan menghadap hari ini manakala Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, pada 21 Oktober ini.

“Namun, semalam Setiausaha Sulit Kanan baginda memaklumkan kepada kami bahawa kedua-dua sesi menghadap Tuanku ditangguhkan.

“Kami menjunjung titah dan mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, kira-kira 20 pengamal media berkumpul di hadapan pintu 2 Istana Negara di sini, menantikan kehadiran pemimpin parti politik.

Ia susulan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, yang didakwanya untuk mempersembahkan kenyataan sahih kononnya beliau memiliki jumlah majoriti bagi membentuk kerajaan.