KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat tiba di Istana Negara di sini, dari Kuantan, Pahang, pada jam 12.23 tengah hari ini.

Baginda yang diiringi polis dan anggota keselamatan sempat melambaikan tangan kepada petugas media yang bersedia di perkarangan Istana.

Yang di-Pertuan Agong bersama Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan rundingan hari ini bagi membincangkan cadangan yang dipersembahkan kerajaan, khususnya mengenai penularan COVID-19.

Menurut sumber, pertemuan khas itu dijadual bermula pada jam 2.30 petang dan hanya akan melibatkan Raja-Raja Melayu, tanpa kehadiran Yang di-Pertua Negeri atau mana-mana ahli politik.

Difahamkan, sekurang-sekurangnya enam Sultan sudah mengesahkan keberangkatan dan dijangka kesemua Raja-Raja Melayu akan berkenan menghadiri pertemuan tersebut.