KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong tidak menerima senarai ahli-ahli Parlimen yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis menghadap di Istana Negara padi tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara petang ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam sesi menghadap itu Yang di-Pertuan Agong telah memberi nasihat kepada Anwar.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.
“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.