PEKAN: Agrobank Wilayah Pahang tidak pernah meluluskan permohonan pembiayaan kewangan kepada pekebun yang ingin mengusahakan tanaman durian diatas tanah haram di Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub.

Pengarah Agrobank Wilayah Pahang Safaruddin Samsuddin, berkata syarat utama untuk membuat pembiayaan bagi mengusahakan kebun ialah geran tanah yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), tanpa dokumen itu pembiayaan tidak akan diluluskan pihaknya.

Katanya, isu pekebun durian tanah kerajaan termasuk hutan simpan mengusahakan kebun hasil wang pembiayaan Agrobank tidak berlaku kerana agensi berkenaan tidak pernah berkompromi.

“Memang terdapat ramai pekebun durian Musang King termasuk tanaman lain membuat pembiayaan dengan Agrobank, namun semua mereka mengusahakan kebun di atas tanah sendiri termasuk yang disewa.

“Bagi pekebun yang menyewa tanah, pihak terbabit perlu menyertakan surat kebenaran menyewa daripada pemilik tanah berkenaan. Sekiranya ada surat itu kelulusan akan dipertimbangkan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, setiap kali musim durian, Agrobank cawangan Sungai Ruan akan menerima ramai pelanggan membuat simpanan kewangan yang terdiri daripada pekebun raja buah itu.

Katanya, di Sungai Ruan dan Kampung Chalit terdapat ramai pekebun kelapa sawit, koko dan pisang yang mana ada dalam kalangan mereka adalah pelanggan Agrobank.

“Kita sentiasa memberi sokongan kepada pekebun yang ingin membuat pembiayaan namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan terutama membabitkan hak milik tanah.

“Agrobank tidak akan meluluskan pembiayaan pekebun yang ingin mengusahakan kebun durian Musang King termasuk projek pertanian lain di atas tanah kerajaan dan hutan simpan,” katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa pelanggan di Sungai Ruan dan Kampung Chalit terdiri daripada syarikat yang terbabit dengan sektor pengeksportan durian Musang King sejuk beku ke China.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan.

Tindakan itu dilakukan, berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian terkenal di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Minggu lalu, seramai 111 pekebun durian di atas tanah haram dan kawasan hutan simpan berjaya mendapatkan Perintah Pergantungan Sementara oleh Mahkamah Tinggi Kuantan terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan di beberapa lokasi di sekitar Raub. -BH

Mahkamah tiada bantahan dan membenarkan pergantungan notis yang dikeluarkan responden sehingga tarikh pendengaran semula permohonan dijadualkan pada 28 Oktober depan.