IPOH: Ahli-ahli Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Perak diingatkan supaya tidak berfikir dan bertindak secara politik pembangkang.

Pengerusinya, Asmuni Awi turut mengingatkan mereka supaya
jangan ada yang cuba berlagak bagai ‘hero rakyat’ dengan meninggalkan perjuangan parti.

Menurut beliau, keberadaan mereka sebagai kerajaan pada hari ini adalah atas perjuangan parti yang didokong bersama.

“Sewajibnya kita menginsafi segala-galanya. Segala kedudukan yang kita perolehi pada hari ini adalah atas prestasi parti yang kita anggotai ini.

“Pendekatan politik kita, ketajaman fikiran dan keikhlasan dalam berjuang adalah prasyarat untuk menang,” katanya ketika memberi ucaptama pada Konvensyen Tahunan Amanah Perak kali ke-3 di Hotel Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Konvensyen dirasmikan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar.

Asmuni mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya pengundi dan petugas yang memberikan harapan kepada Amanah dan Pakatan Harapan sebagai kerajaan di peringkat negeri dan juga Persekutuan.

“Ini merupakan satu episod politik yang terhebat sejak 60 tahun lalu. Ini sebenarnya satu revolusi sebenar. Revolusi cara Malaysia yang berpegang pada prinsip keamanan dan kedamaian,” ujarnya.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada kerajaan sekarang, Amanah perlu memainkan peranan sebagai sebuah parti yang mempunyai kebijaksanaan dalam konsep perkongsian kuasa membawa gagasan parti sewaktu awal penubuhannya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk ahli memberikan komitmen kepada program tarbiyyah yang disusun, samada oleh pihak Panel Syariah Negeri atau Biro Dakwah Kawasan seperti Tanweer atau Mabit yang diadakan secara rutin.

“Kita juga mengharapkan agar lebih ramai agamawan bersama dalam menggerakkan tradisi keilmuan dan pembinaan dalam parti. Inilah waktunya Islam sebagai kerajaan dipraktiskan,” tambahnya.