KUALA KANGSAR – Ribuan ahli temasuk jentera Piliharaya Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Kuala Kangsar menyatakan hasrat untuk tidak membantu berkempen calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong.

Mantan Ketua Penerangan PPBM Kuala Kangsar, Amir Hashim Yot berkata, tindakan terbabit terpaksa dibuat berikutan kekecewaan ahli-ahli akar umbi dengan pemilihan calon Isa Jaafar dari Amanah untuk bertanding di kawasan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

“Kami ahli-ahli dan mantan Ahli Jawatankuasa Bersatu membantah dan menolak sekeras-kerasnya pencalonan Isa sebagai calon terjun Bersatu untuk DUN Manong.

“Kami sebagai pengundi tegar dan penggerak awal sejak tertubuhnya Bersatu rasa amat terhina, terkilan dan tidak puas hati dengan pencalonan beliau kerana kami penduduk-penduduk khususnya di Manong tidak mengenali beliau,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Isnin.

Tambah beliau lagi, pemilihan Isa sebagai calon sekali gus telah memadamkan peluang Pakatan Harapan untuk memenangi kerusi tersebut yang kini disandang oleh wakil Barisan Nasional (BN).

“Beliau adalah Ketua Bahagian Amanah Padang Rengas yang gagal di Padang Rengas, di mana organisasi AJK beiau sendiri tidak tersusun dengan sempurna malah langsung tidak mempunyai jentera sendiri atau melakukan gerak kerja bersama kami selama ini.

“Di manakah kerjasama Amanah dalam Pakatan Harapan yang dikatakan menghormati sahabat seperjuangna dan semangat setiakawan? Suahlah kerusi Parlimen diambil dan kini DUN Manong juga dirampas,” ujar beliau.

Justeru katanya, satu perbincangan akan dilakukan di peringkat akar umbi mengenai isu terbabit termasuk mempertimbangkan tindakan membantu jentera BN berkempen menentang calon PKR sebagai tanda protes.

“Adalah diingatkan kepada pucuk pimpinan Bersatu dan Amanah sama ada di bahagian dan Perak, jangan main langgar begitu sahaja kerana kami adalah pengundi-pengundi di Parlimen Kuala Kangsar, kami ramai waris, sanak saudara dan sahabat handai yang mengundi di sini.

“Kami masih ada jentera hardcore Bersatu di Kuala Kangsar ini yang telah bertungkus-lumus mencari pengaruh dan mempertahankan Bersatu hingga kini dengna pelbagia onak , duri dan api.

“Diingatkan juga kepada calon-calon Pakatan Harapan di Kuala Kangsar ini, jangan sombong dan angku setelah dinobatkan sebagai calon, jagalah hati rakan-rakan yang selama ini bekerja keras memertahankan Pakatan Harapan,” kata beliau.

Pada PRU-14, Isa akan menentang Mohammad Zuraime Razal dari Barisan Nasional dan calon PAS Jamil Dzulkarnain. Pada pilihanraya lalu, penyandang kerusi itu, Datuk Mohammad Kamil Shafie telah mengalahkan Jamil dengan majoriti hanya 231 undi.