KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia sebentar tadi.

Perkara terbabit disahkan oleh sumber Parti Warisan Sabah (Warisan).

Mendiang menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu.

Difahamkan mendiang terkena jangkitan paru-paru.

Vui Keong yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) sempat berkempen ketika Pilihan Raya Negeri Sabah, baru-baru ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Vui Keong merampas kerusi Parlimen Batu Sapi di bawah tiket Warisan daripada calon Parti Bersatu Sabah, Datuk Linda Tsen Thau Lin dengan majoriti 4,619 undi.

Vui Keong adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kerajaan terdahulu ketika di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri , Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Kabinet bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009 hingga 2013. – K! ONLINE