KUALA LUMPUR : Seorang pemimpin Pakatan Harapan mempelawa Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Wee Jeck Seng yang baru memenangi kerusi Parlimen itu untuk menyertai gabungan parti pemerintah, jika beliau mahu semua projek yang dijanjikan kerajaan berjalan lancar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) berkata, kerajaan PH komited menunaikan segala janjinya, termasuk di kerusi yang dimenangi pembangkang.

“Kita komited laksana projek yang dijanjikan di semua kawasan, baik dari kerajaan atau pembangkang supaya rakyat dapat manfaat dengan projek yang akan dilaksanakan.

“Jadi, saya harap YB Tanjung Piai yang baru ini, sekiranya nak melicinkan lagi pelaksanaan projek, senang saja berhijrah ke blok ini (parti pemerintah),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Wee meminta kerajaan menyatakan komitmen mengenai segala peruntukan dan bantuan yang diumumkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Liew berkata, sebanyak 27 projek bernilai RM20.47 juta dijanjikan kerajaan bagi Tanjung Piai.

“Terdapat 17 projek berjumlah RM14.75 juta yang diluluskan semasa arwah ahli Parlimen Tanjung Piai sebelum ini, 10 projek bernilai RM5.72 juta diluluskan sebelum kempen PRK. Semua di pelbagai peringkat, tempoh pelaksanaan satu hingga 24 bulan bergantung kepada jenis projek dan kos.”

Sementara itu, Liew berkata, siasatan diteruskan bagi semua aduan kesalahan ketika kempen PRK Tanjung Piai, termasuk Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub yang didakwa membuat kenyataan rasis.

“Siasatan ambil masa, apabila selesai ia akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya.”

Timbalan presiden Amanah itu didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio di Kukup Laut pada 5 Nov lalu, di mana klip video didakwa ucapan itu menunjukkan beliau berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika Barisan Nasional kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

Wee pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai selama 2 penggal sejak 2008 dan beliau menang dengan majoriti besar 15,086 undi menerusi PRK pada Sabtu lalu.