IPOH: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan gelaran palsu pada Januari lalu.

Irwan Mohd Nor, 43, dituduh menggunakan gelaran ‘Dato’ Sri Panglima’ bagi maksud persendirian tanpa kebenaran bertulis dari Sultan Perak.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam di Kampung Rapat Jaya Tambahan, 20 Januari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 3(1)(a), Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) enakmen sama.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM500,00 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri, Yusaini Amer Abdul Karim di hadapan Hakim Murtazadi Amran manakala tertuduh diwakili peguam Aiman Ariff Abdul Azij.

Terdahulu Yusaini Amer memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan awam.

Bagaimanapun Aiman Ariff memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah kerana tertuduh merupakan penanggung tunggal dua isteri dan sembilan anak yang tidak bekerja selain turut menghidap kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan pemantauan berkala doktor.

Murtazadi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.