IPOH : Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan tindakan keluar parti oleh ahli PKR dari beberapa cabang di negeri ini hari ini, tidak memberi kesan kepada kekuatan parti di peringkat akar umbi.

Malah tegasnya, dia melihat perkara ini sebagai gerakan pembersihan parti dari golongan munafik yang sanggup menggadai diri.

Farhash berkata, hanya sedikit jumlah mereka yang keluar parti jika hendak dibandingkan dengan keanggotaan parti di Perak yang berjumlah lebih 70,000 orang.

“Hari ini, Isnin bersamaan 2 Mac 2019 bertempat di Tower Regency Hotel, Ipoh berlangsungnya majlis pengisytiharan keluar parti oleh sekumpulan kecil anggota Keadilan dari beberapa cabang di negeri Perak.

“Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Perak berpandangan bahawa perkara tersebut tidak langsung memberi impak kepada kekuatan parti di peringkat akar umbi.

“Berikutan tindakan ahli parti Keadilan yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan perjuangan reformasi kita, saya harap mereka sedar pengkhianatan mereka adalah kepada rakyat Malaysia

“Mari kita berdiri teguh dan rapatkan saf demi perjuangan reformasi yang belum selesai.

“Lihatlah ini sebagai peluang untuk bergerak dengan lebih kuat kerana kini tidak wujud lagi kabilah ‘kartel’,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, difahamkan anggota akar umbi PKR Perak akan membuat pengumuman keluar parti yang bertempat di sebuah hotel di Ipoh pada jam 5 petang pada Isnin.