IPOH: Lelaki berusia 36 tahun ditahan memiliki dadah jenis heroin di kawasan berdekatan Medan Ipoh Bestari di sini Rabu lalu.

  Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ACP Lee King Chuan, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak kira-kira pukul 12.15 pagi, iaitu selepas risikan selama sebulan.
  “Hasil pemeriksaan di dalam but kereta itu menemui dadah jenis Heroin anggaran berat 9.3 kilogram di dalam bungkusan plastik.

“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia, nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM 120,000 dan dianggarkan untuk kegunaan lebih 6,200 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini pada Jumaat.

  Katanya lagi, ketika ditahan suspek sedang menunggu di luar kenderaan dan polis masih menjalankan samada kenderaan adalah milik suspek atau tidak.
  “Hasil siasatan awal mendapati suspek yang bekerja buruh dan berasal dari negeri Perak, dipercayai adalah salah seorang daripada ahli sindiket dadah.
  “Sindiket sudah aktif sejak dua bulan lalu iaitu Jun hingga sekarang, suspek dipercayai peroleh bekalan dadah dari negeri utara Malaysia dan untuk pasaran tempatan sekitar Ipoh,” katanya,
  Ujarnya, suspek ditangkap dan dibawa ke IPK untuk siasatan lanjut. Suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah direman selama tujuh hari mulai 26 Ogos sehingga 1 September.
  “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya.