Oleh:Nazialita Geynna Maharan

Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan memecat mana-mana ahlinya yang didapati bertindak sebagai penaja, penyokong atau pencadang kepada calon parti pembangkang dan Bebas dalam hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau yang juga merangkap Timbalan Presiden UMNO berkata tindakan tegas perlu dikenakan kepada kesemua ahli yang didapati berbuat demikian kerana ia jelas bertentangan dan melanggar perlembagaan parti secara jelas.

Katanya, sebarang makluman mengenai mana-mana ahli parti yang bertindak sedemikian tidak akan diambil mudah kerana ia bersabit dengan sikap engkar dan tidak pandang serius perundangan yang telah digariskan dalam parti

“Saya ingin menyebutkan bahawa memang terdapat di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian yang bertanding sebagai calon Bebas atau calon parti pembangkang.

“Sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan UMNO, mereka yang terlibat secara langsung, secara automatik (mereka) akan terkeluar menjadi ahli UMNO,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Program NBOS: 1AMANWEEK 2018 Banteras Jenayah Dan Perangi Dadah di Dataran Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga calon dan penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk juga menyatakan penghargaannya terhadap parti politik termasuk pembangkang yang tidak menimbulkan sebarang kekecohan malah menjaga disiplin serta tertib penyokong pada hari penamaan calon semalam.

Katanya, sepanjang proses penamaan calon pada Sabtu beliau mengesahkan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku yang memerlukan campur tangan pihak Polis Diraja Malaysia.

Jelasnya, kesemua anggota dan pegawai polis yang terlibat di dalam proses penamaan calon di 222 pusat termasuk pendalaman Sabah dan Sarawak serta lokasi hotspot dan flashpoint memainkan peranan yang amat efisien malah mematuhi prosedur standard atau SOP untuk mengawal keadaan sekitar.

Malah, beliau memuji tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang menyarankan kesemua pegawai dan anggota melaksanakan pendekatan holistik dan lebih daripada arahan hakiki untuk mengawal selia kesemua pusat penamaan itu.

1/2