IPOH: Bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Supt Ahmad Adnan Basri dilantik sebagai Ketua JSPT Negeri Perak yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu menyaksikan beliau menggantikan Supt Wan Jamil Wan Chik yang telah bersara daripada menjadi anggota pada Mei lalu.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini, sebentar tadi.

Ahmad Adnan yang merupakan anak kelahiran Perak itu berkata selaku Ketua JSPT negeri yang baharu beliau akan memberi fokus terhadap enam kesalahan lalu lintas yang merupakan faktor tertinggi menyumbang kepada kemalangan.

Ahmad Adnan Ketua Trafik Perak Baharu

“Kita akan tegas terhadap enam kesalahan ini iaitu kesalahan mengunakan lorong kecemasan tanpa sebarang alasan munasabah, memotong barisan, memotong barisan berkembar dan mengunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Selain itu kita juga akan memberi fokus terhadap kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan terlalu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya ditemui selepas majlis berkenaan.

Kata beliau, perkara tersebut perlu diberi keutaman memandangkan sejak Januari hingga Mei tahun ini sahaja sejumlah 15,880 kemalangan telah dilaporkan sekitar Perak dengan turut melibatkan 308 kes maut.

“Memegang mandat sebagai ketua baharu bukan tugas mudah dengan seramai 30 pegawai kanan, 506 anggota dan 117 pegawai awam, menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan jabatan ini memegang erat integriti kami.

“Insyaallah dengan pengalaman saya yang telah berkhidmat selama 24 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya akan cuba menaikkan imej jabatan ini menjadi antara yang terbaik di negara,” ujar beliau.