Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR:Ahmad Faizal Azumu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah sekitar jam 6.04 petang tadi.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Istiadat angkat sumpah itu sekaligus mengakhiri persoalan dan teka-teki selama tiga hari mengenai parti mana yang bakal mengetuai kerajaan negeri Perak bermula pada penggal baharu ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Ahmad Faizal, yang juga dikenali sebagai Peja menewaskan lawannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, Choong Shin Heng (BN) dan Nordin Hassan (PAS) dengan majoriti 39.

Selain itu Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak turut menewaskan penyandang kerusi parlimen Tambun Datuk Seri Husni Hanadzlah yang merupakan penyandang kerusi itu selama lima penggal dengan majoriti 5,320.

Keputusan PRU14 yang diumumkan Rabu lalu menyaksikan HARAPAN memenangi 29 daripada 59 kerusi negeri yang dipertandingkan dan menjadikan DUN Perak tergantung.

Ini berikutan tidak ada kepastian sama ada PAS yang memenangi 3 kerusi akan bergabung dengan Umno yang hanya menang 27 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Sebelum ini jawatan menteri besar Perak disandang oleh Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan beliau berjaya mempertahankan DUN Pangkor yang dimenangi sejak dua penggal lepas.

Kemuncaknya, Ahmad Faizal selaku Pengerusi PH mengetuai sekumpulan pemimpin Pakatan Harapan Perak telah mengajak dua ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Perak untuk melengkapkan majoriti mudah seperti yang dititahkan oleh Sultan Perak,Sultan Nazrin sebelum ini.