IPOH : Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu membuktikan beliau mempunyai cukup majoriti untuk terus kekal menerajui kerajaan Perak.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kenyataan Ahmad Faizal bahawa beliau masih kekal mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri adalah amat meragukan.

Menurutnya, kenyataan itu bercanggah dengan kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak yang juga ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari yang menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan Perak sudah runtuh selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia keluar daripada pakatan itu pada Isnin.

“Berdasarkan situasi politik terkini, tiada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Oleh yang demikian Muafakat Nasional Negeri Perak mengesyorkan bahawa langkah mengembalikan semula mandat kepada rakyat adalah jalan terbaik untuk menegakkan sistem demokrasi.

“Muafakat Nasional Negeri Perak juga akan memohon untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak untuk menyembah maklum mengenai suasana politik negeri terkini kepada baginda,” katanya dalan sidang media di Bangunan Umno Perak di Ipoh pada Selasa.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam kenyataan yang dikeluarkan tengahari Selasa berkata, di sebalik perkembangan yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Perak masih berfungi seperti biasa.

Saarani berkata, berdasarkan Perkara 16.2(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Menteri Besar mesti mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli-Ahli Dewan Negeri.

Menurutnya, mereka tidak ada masalah sekiranya Ahmad Faizal dapat membuktikan mereka benar-benar mempunyai cukup majoriti untuk terus kekal sebagai Menteri Besar.

Di samping, katanya, mereka juga sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum.

Dalam masa sama, kata Saarani, Muafakat Nasional Negeri Perak bersedia menerima mana-mana wakil rakyat Pakatan Harapan untuk bersama-sama membentuk kerajaan.