KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merakamkan penghargaan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas segala kebaikan, jasa dan bakti yang dicurahkan kepada nusa dan bangsa.

Beliau melahirkan penghargaan itu ketika berucap pada sambutan Hari Lanskap Negara Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Perasmian sambutan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Laman Budaya Kuala Kangsar.

“Patik dan sekalian rakyat tentu sekali akan meneruskan setiap usaha dan perjuangan Ayahanda Tun dalam membina nusa dengan menitikberatkan soal integriti dan menolak kemungkaran,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, beliau dan rakyat akan meneruskan setiap usaha dan perjuangan Tun dalam membina nusa dengan menitikberatkan soal integriti dan menolak kemungkaran.
Menurutnya, dalam usaha memelihara alam sekitar, kerajaan negeri turut merancang menjadikan Pulau Pangkor sebagai sebuah pulau bebas karbon dengan memperkenalkan kenderaan elektrik secara berperingkat-peringkat.

Sebagai permulaan, katanya, kerajaan negeri telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi menukar kesemua teksi merah jambu di pulau berkenaan dengan van berkuasa elektrik.

“Perkara ini dapat dilaksanakan melalui bantuan peruntukan khas yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri ke-7, Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Disember yang lalu,” katanya.

Beliau berharap, semua inisiatif kerajaan kerajaan negeri akan menjadi satu langkah kecil kepada gerakan massa melibatkan semua pihak untuk bersama-sama bertindak bagi menangani perubahan iklim dunia.

“Kita tidak memiliki bumi ini. Kita meminjamnya daripada anak cucu kita. Justeru, kita perlu bertindak sekarang, agar kita dapat mewariskan sebuah dunia yang selamat untuk didiami oleh generasi akan datang,” kata beliau.