SERAMAI 120 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang, Baram, terpaksa bercuti hari ini, apabila banjir melanda sekolah berkenaan sejak malam tadi.

Difahamkan, banjir berlaku akibat limpahan air Sungai Baram menyebabkan blok pentadbiran, blok asrama dan bilik kelas dinaiki air setinggi 0.3 meter manakala dewan, dapur asrama, kuarters guru dan padang sekolah pula dinaiki air setinggi 1.5 meter.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sehingga 8 pagi tadi, paras air masih tidak berubah.

“Sehubungan itu, semua staf yang berada di sekolah diingatkan untuk sentiasa bersedia dan mengawasi paras air.

“Sesi persekolahan hari ini juga dibatalkan kerana dikhuatiri kejadian buruk berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan berterusan dijalankan untuk memastikan keadaan selamat sebelum membenarkan sekolah berkenaan dibuka semula, esok.

Sekolah berkenaan mempunyai 14 guru dan sembilan staf pentadbiran – hmetro