IPOH: Air pancut Bulatan Sultan Yussuf yang menjadi Ikon Ipoh sejak 57 tahun lalu dibuka semula mulai malam ini.

Pembukaan air pancut yang telah dibina pada 1963 itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ahli-Ahli Majlis MBI.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Nolee berkata, projek naik taraf bulatan itu melibatkan naiktaraf lanskap dan struktur utama air pancut, tanpa mengubah struktur asal.

Menurutnya, projek itu melibatkan peruntukan berjumlah RM400,000 di mana RM200,000 adalah sumbangan pihak Weil Hotel manakala RM200,000 lagi peruntukan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Projek ini sepatutnya siap pada bulan Mac 2020 namun disebabkan pandemik COVID-19, projek ini telah dilanjutkan dan siap pada 20 Oktober 2020,” katanya.

Air pancut itu telah terletak di empat jalan utama iaitu Jalan Sultan Nazrin Shah, Jalan Sultan Iskandar Shah, Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Dihilir.

Nolee berkata, konsep pengindahan struktur air pancut melibatkan penambahan ‘globe’ yang bercahaya umpama sebutir permata di atas mercu struktur sedia ada.

Di samping itu, katanya, air pancut itu juga telah dipasang dengan sistem perpaipan dan pam baru menggunakan teknologi yang terkini.

Dalam pada itu, Nolee berkata, pihak MBI akan sentiasa memantau kawasan air pancut itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti gelandangan mandi.