KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Group berjaya mendapatkan kemudahan pinjaman RM1 bilion bagi membantu syarikat itu berdepan kesan COVID-19.

Bantuan pinjaman itu diterima di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin (DPGS) bernilai RM50 bilion, menurut laporan Nikkei Asia.

Menurut laporan yang memetik sumber Kementerian Kewangan dan AirAsia itu, 80 peratus pinjaman itu dijamin Kementerian Kewangan.

Sumber juga memberitahu Nikkei Asia pinjaman tersebut akan mula diserahkan bermula bulan hadapan.

Danajamin Nasional Bhd menyediakan DPGS sebagai sebahagian Pakej Rangsangan Ekonomi Prihartin yang diperkenalkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemudahan pinjaman itu disediakan di semua institusi kewangan sehingga 31 Disember 2020 atau sehingga dana itu digunakan sepenuhnya.

Sementara itu Nikkei Asia turut memetik sumber bahawa AirAsia akan melakukan pusingan terbaharu pembuangan pekerja bulan hadapan melibatkan sejumlah 400 tenaga kerja.

Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini dipetik sebagai berkata, syarikat itu akan membuang 10 peratus tenaga kerja daripada 24 ribu tenaga kerja.