MUAR: “Aisya kuat lawan sikit ye trauma tu… Insyallah Aisya akan cantik seperti dulu,” kata Siti Noorfadilah Yusofe dalam entri yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Siti Noorfadilah ibu kepada Nur Aisyah Hasmizan, 17 bulan yang dilarikan oleh seorang lelaki warga Nepal yang memecah masuk rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap di sini berkata, anak bongsunya itu juga pasti akan menangis setiap kali bangun dari tidur.

“Setiap hari, bangun tidur Aisya (panggilan Nur Aisyah) mesti menangis… nak papa je. Bila tidur dia tetap nak peluk mama.

“Kalau dah menangis susah tau nak pujuk. Dia jadi manja sangat ni. Aisya memang manja dengan papa… siap tak nak tengok mama lagi. Aisya kuat lawan sikit ye trauma tu. Insya-Allah Aisya cantik macam dulu,” katanya dalam laman sosial Facebook miliknya yang menggunakan nama Diela Yusofe, hari ini.

Siti Noorfadilah juga menerusi laman Facebooknya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu keluarganya ketika menghadapi berita kehilangan Nur Aisyah, awal pagi Khamis lalu.

“Sebelum lupa, nak ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu ketika Aisya hilang. Paling banyak beri sokongan moral ialah adik beradik dan sanak saudara, moga dapat tolong hingga Aisya keluar… polis masih suruh berjaga-jaga dengan apa yang berlaku kerana motif sebenar kejadian masih belum tahu.

“Kepada rakyat Malaysia dan jika terlupa siapa lagi, terima kasih tak terhingga, risaukan Aisya dari hilang sampai sekarang. Saya tiada harta untuk dibagi kepada semua yang baik hati tapi saya berdoa moga Allah balas jasa anda semua,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi Khamis lalu, seorang bayi perempuan berusia 17 bulan dilarikan individu yang tidak dikenali yang memecah masuk rumah keluarganya.

Nur Aisyah berjaya ditemui dan diselamatkan polis kira-kira jam 3.45 petang di sebuah kawasan belukar, kira-kira satu kilometer dari rumah keluarganya.

Penemuan itu susulan kejayaan polis menahan seorang lelaki warga Nepal berusia 25 tahun bersama-sama dengan sebuah telefon bimbit yang turut dilarikan dalam kes berkenaan, di sebuah rumah kongsi di Kampung Bukit Treh, dekat sini kira-kira jam 9 pagi pada hari yang sama.

Hasil daripada penahanan suspek dan soal siasat yang dilakukan kemudiannya membawa kepada penemuan bayi perempuan berkenaan.

Pada masa ini Nur Aisyah masih ditempatkan di dalam wad di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dalam keadaan stabil tetapi masih perlu mendapatkan rawatan lanjut pakar perubatan – berita harian