BAGAN SERAI– Penyandang Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menganggap tindakan pembangkang seringkali mengajak calon Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan sesi debat disifatkan satu ‘kerja bodoh’ dan tidak kena pada masanya.

Menurutnya, dalam tempoh gerak kerja berkempen, tindakan pembangkang yang mencabar calon BN untuk berdebat hanyalah taktik untuk menyelamatkan diri mereka.

” Dalam tempoh berkempen kurang dari seminggu ianya adalah masa untuk berkerja dan bukan untuk berdebat.

” Ini semua kerja bodoh dan taktik pembangkang untuk menarik calon BN masuk ke dalam ‘ gelanggang dan bertinju’ dengan mereka namun kita tidak akan sesekali menyahut ajakan mereka dalam tempoh berkerja ini.

” Semua ini adalah helah mereka untuk menyelamatkan diri dan BN tidak masalah untuk berdebat namun perlulah pada masa yang sesuai,” katanya ketika ditemui dalam sesi lawatan ke Pusat Daerah Mengundi di
Taman Serai Permai,malam tadi.

Terdahulu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian dataran Amanjaya Simpang 5 Parit Buntar, kelmarin turut menempelak pelawaan pihak pembangkang yang gemar untuk berdebat.

Ditanya mengenai saingan tiga penjuru yang bakal dihadapinya,disini, Noor Azmi mengakui beliau cukup ‘teruja’ berhadapan dengan calon pembangkang yang muda dan juga calon wanita.

” Saya sebenarnya teruja apabila bakal berdepan dengan calon muda dan calon wanita di P058 ini.

” Selaku penyandang Parlimen Bagan Serai, saya melaksanakan tugas saya sebelum ini selama satu penggal dengan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan.

” Bukan riak sebaliknya sebagai anak tempatan sudah semestinya saya lebih rapat dijiwa mereka berbanding calon pembangkang yang baru hendak mengenali Bagan Serai,” katanya.

 

BERITA BERKENAANHarapan Penduduk Tambun untuk Perhatian Calon Parlimen