ALOR SETAR: Seorang guru Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) meninggal dunia ketika menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Jaya Suria Safar, 51, yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum KSAH dikatakan sedang berucap sebelum secara tiba-tiba rebah di hadapan guru dan ibu bapa yang hadir.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata mangsa dipercayai mengalami serangan jantung menyebabkan beliau tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), namun disahkan sudah meninggal dunia.

“Berdasarkan laporan awal, mangsa mempunyai rekod rawatan jantung dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Sementara itu, rakan mangsa, Zuraisham Che Azmi, 49, berkata arwah tidak pernah mengadu sakit, malah beliau kelihatan sihat ketika ditemui guru tempatnya bertugas.

“Arwah mengajar di KSAH kira-kira tiga tahun lalu, sebelum ini dia mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dulang, Yan.

“Kami semua memang terkejut sebaik menerima berita mengenai kematiannya dan berasa kehilangan besar kerana beliau adalah seorang guru yang komited,” katanya yang turut bertugas sebagai guru.

Arwah yang menetap di Guar Chempedak meninggalkan seorang isteri dan dua anak – berita harian