KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata kerajaan negeri pimpinannya akan bekerjasama dengan kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-8, Muhyiddin Yassin walaupun mereka menyokong bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kerjasama itu bertujuan memastikan Sabah dan rakyatnya terus menikmati manfaat dari segi pembangunan dan bidang lain, termasuk kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

“Selepas mesyuarat dengan semua Adun dan Ahli Parlimen Sabah lebi 45 minit, pendirian kami ialah terus menyokong Mahathir,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini sambil mendapat sorakan daripada semua wakil rakyat di pejabatnya.

Ini julung kali Shafie menyuarakan pendirian Sabah selepas Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 pada Ahad lalu.

“Saya harap beliau (Muhyiddin) faham. Saya tidak menentangnya kerana beliau ialah kawan saya dan sudah lama bersama kami,” kata Shafie yang juga presiden Warisan.