Kuala Lumpur: Pendeposit Tabung Haji (TH) yang tidak aktif selama tujuh tahun diingatkan supaya melakukan transaksi bagi mengelak akaun mereka dibekukan.

Lembaga TH dalam kenyataannya berkata, mana-mana pendeposit yang tidak melakukan sebarang transaksi lebih tujuh tahun akan dikategorikan sebagai akaun dorman atau tidak aktif.

“TH menyarankan pendeposit yang tidak melakukan sebarang transaksi di TH melebihi tujuh tahun berturut-turut bermula tahun 2013 untuk berbuat demikian.

“Ini bagi mengelakkan akaun mereka dikategorikan sebagai tidak aktif atau berstatus dorman,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, simpanan yang terdapat dalam akaun dorman ini masih lagi boleh dituntut pendeposit TH apabila akaun itu diaktifkan semula.

Katanya, pendeposit boleh menuntut wang mereka dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang.

“Transaksi boleh dilakukan di 10,000 ‘touch points’ TH sama ada melalui kaunter, dalam talian dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau mesin simpanan wang (CDM) rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Maybank, Bank Rakyat dan CIMB.

“Penting bagi akaun pendeposit TH berstatus aktif supaya mereka terus menikmati manfaat menyimpan di TH seperti, simpanan dijamin kerajaan, mendapat agihan keuntungan, zakat dibayar, patuh syariah, dikecualikan cukai dan penyertaan dalam kempen simpan, daftar dan menang.

“Setiap tahun, TH akan mengingatkan pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, di samping mengemas kini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) di 03-62071919 untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH lain.