MELAKA: Seorang akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan memfitnah seorang Datin Seri, lima tahun lalu.

Koh Foh Ghe, 64, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, Foh Ghe didakwa dengan sengaja membuat pernyataan zahir, secara isyarat atau menyiarkan apa-apa tohmahan terhadap Datin Seri Lee Ngan Hoo, 63, dengan maksud merosakkan nama baik mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Ting Hwa, antara jam 8 hingga 10.30 malam, pada 19 Februari 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob mencadangkan jaminan RM4,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yap Bell Pung merayu jaminan dikurangkan kepada RM1,500 dengan alasan memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes – berita harian