GERIK: Empat termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 45, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli di sini pada Ahad.

Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Audi, Perodua Kenari dan pacuan empat roda Nissan Frontier itu juga turut menyebabkan dua mangsa cedera parah dan lima lagi cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17, Rosli Zakaria, 54 dan seorang individu OKU maut di tempat kejadian.

Menurutnya kemalangan berlaku sekitar 1 petang apabila kenderaan jenis Audi yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun dari arah Jeli ke Gerik bergesel dengan sebuah kenari dari arah bertentangan.

“Tempat kejadian merupakan laluan selekoh menuruni bukit, pergeseran menyebabkan kereta Kenari berpusing dan terbabas ke kanan jalan arah ke Jeli manakala Audi telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Frontier

“Akibat kemalangan pemandu serta penumpang kenderaan Kenari dan dua penumpang yang menaiki kenderaan Audi itu maut di tempat kejadian.

Pemandu kereta Audi dilaporkan mengalami kecederaan parah. Dia bersama lain-lain mangsa di hantar ke Hospital Gerik untuk rawatan,” katanya dalam satu laporan dikeluarkan sebentar tadi.

Tambah beliau siasatan lanjut masih diteruskan.

Che Wan Teh dan Muhammad Khairul Khawrizmie merupakan penumpang kenderaan Audi manakala Rosli Zakaria, dan seorang individu OKU yang masih belum dapat disahkan identitinya menaiki kenderaan Kenari.

Pemandu dan dua lagi penumpang kenderaan Frontier hanya mengalami kecederaan ringan.