TERONG-Program Negaraku:Menghubung Menyatu yang dilaksanakan di Kampung Sungai Kerang di sini bertujuan untuk menanggani jurang digital di kawasan kepada maklumat asas serta perkhidmatan di kawasan pedalaman.

Menurut Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM), Mohamad Haidhir Othman, masih ada segelintir masyarakat khususnya di kawasan pedalaman yang tiada atau terhad capaian internet, televisyen serta radio.

 

“Program ini merupakan inisiatif oleh KKMM dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan dan swasta di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Ia penting untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat dan terhubung serta meningkatkan taraf hidup penduduk,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Negaraku:Menghubung Menyatu di Padang Awam Kampung Sungai Kerang, di sini hari ini.
Yang turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terong, Datuk Dr. Zabri Abd Wahid, Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamad Akmal Dahlan, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Peladang Perak serta Pengarah Jabatan Penerangan Perak, Razali Kidam.
Sementara itu, Zabri ketika ditemui berkata, agihan peralatan siaran digital Astro NJOi, televisyen dan barangan keperluan harian akan diberikan kepada penerima yang layak.

“Sebanyak 10 unit alatan siaran Astro NJOi, 10 unit televisyen sumbangan KKMM dan 30 unit barangan keperluan harian sumbangan Telekom Malaysia (TM) akan diberikan kepada golongan kurang berkemampuan di Kampung Sungai Kerang.

“Mereka yang terpilih ini memang sudah dikenal pasti antara keluarga yang tidak mempunyai televisyen dan siaran Astro di rumah. Siaran Astro NJOi itu akan dipasang dan diberikan secara percuma tanpa dikenakan yuran bulanan,”kata Zabri.

Seramai 456,000 penduduk di kawasan pedalaman Malaysia berjaya dihubungkan menerusi program ini sejak dilancarkan pada tahun 2016 sehingga kini.

Dalam pada itu, sebanyak 530 buah satelit penyiaran Astro NJOi telah pun dipasang di rumah-rumah mereka yang layak secara percuma.