KUCHING: Rakyat Sarawak diseru supaya menghormati lagu Negaraku dan tidak terikut dengan perbuatan sengaja enggan berdiri seperti mana rakaman video tular di satu majlis yang diadakan di negeri itu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perbuatan sedemikian harus ditolak.

“Kalau tidak senang dengan kerajaan bukan dengan cara tidak menghormati bendera dan lagu kebangsaan kita. Pemimpin kita dahulu telah setuju menubuhkan Malaysia pada 1963, tiada bendera Malaysia dan lagu Negaraku sebelum 1963, maknanya pada 1963 kita sebahagian daripada bendera dan lagu kebangsaan negara ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan penyerahan Anugerah Emas yang dimenangi Lembaga Pelancongan Sarawak di Anugerah Pasific Asia Travel Association (PATA) 2019 di Kazakhtan pada 19 Sept lepas bagi kategori Media Pemasaran-Video Perjalanan.

Beliau mengulas video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan individu dipercayai ahli atau penyokong Sarawak for Sarawakians (S4S) yang hanya duduk ketika lagu kebangsaan berkumandang pada satu majlis baru-baru ini.

Ini didakwa dilakukan kumpulan individu terbabit sebagai menunjukkan bantahan kepada kerajaan berkaitan isu pemberian royalti minyak 20 peratus kepada Sarawak.

Karim berkata kumpulan indvidu terbabit tidak boleh menjadikan rasa kurang senang mereka dengan kerajaan sebagai alasan untuk melakukan perbuatan itu kerana lagu kebangsaan perkara berlainan yang tidak boleh dipolitikkan.

“Harapan saya mereka ini bertaubatlah dan mohon maaf kepada semua rakyat kerana menunjukkan mereka tidak menghormati lagu kebangsaan kita,” katanya.

Karim menyifatkan perbuatan itu amat bertentangan budaya rakyat Sarawak yang amat menghormati lagu kebangsaan.

Beliau juga secara peribadi merasakan hukuman lebih berat termasuk penjara bertahun perlu dikenakan kepada kumpulan individu itu bawah Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan bukan sekadar denda RM100.

-BERNAMA