SEMENYIH: Dua sungai di Negeri Sembilan disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan operasi loji pembersihan air (LPA) Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi, Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata perkara itu selepas hasil siasatan awal yang dilakukan pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Katanya, dua sungai berkenaan — Sungai Pajam dan Sungai Batang Benar — dikesan kehadiran bau seperti bangkai yang menjadi punca pencemaran.

“Siasatan yang dijalankan oleh pihak LUAS di Sungai Pajam mendapati bau seperti bangkai dikesan kuat di udara dan hasil siasatan lanjut mendapati terdapat aktiviti pembersihan reban angsa secara besar-besaran berlaku di kawasan berhampiran sungai ini.

“LUAS meneruskan pemantauan di kawasan Sungai Batang Benar bagi mengenal pasti potensi punca bau di mana hulunya adalah di kawasan perindustrian di Nilai 3 dan kedua-dua lokasi pemantauan isu berbau adalah melibatkan kawasan persempadanan di Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata LUAS telah mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat.

Jelasnya, anggaran jarak dari lokasi siasatan ke muka sauk LPA Sungai Semenyih ialah 15 kilometer.

Sehubungan itu, beliau berkata, LUAS turut mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan dan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri sama untuk melakukan pemantauan lanjut.

“Setakat pukul 11 malam tadi, kedua-dua sungai itu mengalami pencemaran sehingga 11 TON (ukuran kadar bau), namun ia beransur turun kepada 8 TON pada pagi ini.

“Operasi LPA Sungai Semenyih akan dibuka semula selepas kesemua sungai kembali pulih dan kadar pencemaran 0 TON dan pihak kami akan memastikan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) kini giat menggerakkan lori tangki air untuk dihantar ke lokasi yang terjejas. – Awani