IPOH: Mereka yang ingin menjalankan aktiviti pendakian di kawasan hutan simpan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, aktiviti yang dilakukan tanpa kebenaran boleh dikategorikan sebagai menceroboh dan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, jika tiada kebenaran, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana masuk ke hutan simpan kekal tanpa permit sah.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, terbaru pihaknya mendapat aduan mengenai aktiviti pendakian di Gunung Korbu, Hulu Kinta membabitkan dua individu berusia 68 dan 42 tahun pada Jumaat lalu tanpa kebenaran bertulis daripada jabatan.

Katanya, pada dasarnya aktiviti mendaki gunung dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan syarat tidak bermalam dan tidak melebihi lima orang.

“Ini prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, tetapi disebabkan mendaki Gunung Korbu mengambil masa 2 ke 3 hari dan terpaksa bermalam, maka laluan ini ditutup.

“Jabatan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 ke atas dua pendaki ini,” ujarnya.

Suara Perak melaporkan seorang lelaki warga emas hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Korbu.

Mangsa bagaimanapun ditemui selamat kira-kira jam 2.30 petang hari ini sebelum dihantar ke pos kawalan oleh dua penduduk Orang Asli.