IPOH – Nombor pendaftaran kenderaan AKU 1 mendapat bidaan tertinggi iaitu RM207,898.90 berbanding nombor AKU 8055 yang hanya mencecah harga RM74,000.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata, bagaimanapun nombor terlaris dalam siri AKU adalah AKU 1305 dengan 49 pembida diikuti AKU 8055 sebanyak 27 pembida, AKU 89 (23 pembida), AKU 69 (21 pembida), AKU 2121 (20 pembida), AKU 4212 (19 pembida) dan AKU 805 (18 pembida).

Menurutnya, jumlah keseluruhan permohonan diterima bagi nombor pendaftaran AKU sebanyak 3,315 namun hanya 3,076 diterima, sementara bakinya ditolak kerana tidak cukup syarat dan permohonan tiada dokumen.

“Kebiasaannya permohonan tender bagi JPJ Negeri Perak adalah 500 hingga 600 penyertaan. Tetapi bagi siri AKU, permohonan bertambah lima kali ganda daripada biasa.

“Nilai keseluruhan bidaan bagi siri AKU ini berjumlah RM3.5 juta dan menjadi antara kutipan tertinggi bagi negeri Perak,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat JPJ Perak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di pekarangan Pejabat JPJ Perak, orang ramai mula melihat nombor yang dipaparkan di papan kenyataan sejak awal pagi tadi.

-SinarHarian