IPOH: Nombor pendaftaran kenderaan AKU 805, AKU 8055 dan AKU 1305 dijangka mendapat permintaan tertinggi setelah dibuka bidaannya menerusi tender hari ini oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak bermula jam 8 pagi.

Menurut Pengarah JPJ Perak, Zawawi Zakaria, tempahan nombor pendaftaran AKU 1 hingga AKU 9999 dibuka bermula 3 hingga 18 Julai 2017.

Beliau menjangkakan ramai yang akan membida AKU 805, 8055 dan 1305 kerana jika dirapatkan nombor itu akan disebut AKU BOS atau AKU BOSS.

“Namun kita ikut spesifikasi yang telah ditetapkan, kita tidak dapat jangka siapa yang dapat kerana siapa yang buat bidaan tertinggi maka dia yang dapat.

“Setakat ini pengasas kosmetik, pemain badminton dan artis pun sudah ada yang masuk tender, tunggulah sehingga bidaan ditutup,” katanya kepada pemberita di bilik mesyuarat JPJ Ipoh pada Isnin.

Menurutnya, kategori nombor bernilai utama (Golden Number) iaitu nombor 1 hingga 10 dibuka pada harga minima RM 10,000, kategori nombor menarik seperti 11,12,777 dan 8888 RM 2000 dan nombor popular (biasa) RM300.

Dalam pada itu, Suara Perak bekesempatan menemubual beberapa individu yang hadir ke JPJ Ipoh bagi membuat bidaan nombor masing-masing.

Azlan Abdul Jamil, 48, yang bekerja sebagai juruteknik menyifatkan nombor pendaftaran AKU 8500 sebagai simbolik kepada alamat rumahnya.

“Saya bida nombor AKU 8500 dengan harga RM 300 disebabkan sebelum ini saya sudah punyai nombor 8500 untuk kedua-dua buah kereta, kali ini saya beli untuk motosikal pula.

“Senang nak ingat dan saudara mara pun boleh kenal plat kereta dan rumah sama di samping itu nombor telefon saya juga berakhir dengan 85, ini juga sebagai tanda ingatan untuk saya bersara di umur 55 tahun nanti,” katanya.

Berbeza pula buat Azizi Rahman, 45, yang membida nombor pendaftaran AKU 2121 sesuai dengan namanya.

“Nombor 2121 mirip kepada ZIZI yang simbolik dengan nama saya AKU ZIZI, saya harap supaya bidaan hari ini berjaya dan dapat nombor yang diidamkan khusus untuk kereta baharu saya,” kata ahli perniagaan itu.

Orang ramai boleh membuat permohonan nombor pendaftaran AKU di mana-mana JPJ dan laman web dengan penghantaran dokumen lengkap di JPJ Perak dan cawangan.