PETALING JAYA, 13 JAN – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membantu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memasak untuk mangsa banjir di Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Amin Kampung Berhala Gantang, Temerloh, Pahang hari ini.

Melalui satu kenyataan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua dimaklumkan berangkat tiba di sekolah berkenaan setelah berkenan melawat dan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di Kampung Buntut Pulau dan Kampung Tebal, Temerloh.

“Sudah menjadi kelaziman bagi Raja Permaisuri Agong menyingsing lengan baju menyediakan makanan kepada mangsa banjir di negeri Pahang.

“Sentuhan Yang di-Pertuan Agong dan air tangan Raja Permaisuri Agong mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan,” ujar kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat bersama Baginda mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook dengan nama Najmi Al-Saadi turut mendoakan kesejahteraan kedua-dua pasangan Seri Paduka Baginda yang dilihat kerap turun padang membantu mangsa banjir.

“Sejak musibah banjir besar ini, sudah banyak kali Seri Paduka Baginda berdua memasak untuk rakyat. Semoga Allah S.W.T. mengurniakan Tuanku berdua dengan kesihatan yang baik dan usia yang panjang penuh berkat,” luahnya.

Seorang lagi pengguna dengan nama Goh Joo Lai turut meninggalkan komen positif termasuk mendoakan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong.

“Daulat Tuanku. Terbaik. Turun padang meredah banjir dan memasak untuk rakyat. Semoga Tuanku berdua diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan usia. Raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya. – K! ONLINE