MANJUNG , 22 DIS : “Saya dan suami kesal dengan apa yang berlaku serta menuntut pihak klinik supaya bertanggungjawab,” luah ibu empat anak, Rosnah Musa.

Rosnah, 35, yang menetap di Taman Seri Melur, Ayer Tawar, Perak memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisah anak keduanya, Muhammad Adly Hadi Adzrul Effendie ,8, yang dimasukkan ke Hospital Ipoh sejak 18 Disember selepas mengalami bengkak yang serius pada bahagian alat sulit.

Menurut Rosnah, keadaan itu berlaku selepas Muhammad Adly berkhatan dengan kaedah ‘klamp’ (penggunaan klip) di sebuah klinik swasta di Seri Manjung pada 13 Disember lalu.

“Selepas berkhatan di klinik berkenaan, saya dan suami terus membawa anak pulang ke rumah.

“Pada hari pertama dan kedua, kami dapati ada perubahan pada alat sulit Muhammad Adly iaitu saiznya pendek berbanding asal serta kepala zakar kelihatan senget ke kiri.

“Selain itu, anak saya sering mengadu sakit, berasa takut dan menangis setiap kali mahu membuang air kecil.

“Keadaan ini merisaukan saya dan suami kerana ia sesuatu yang tidak normal tetapi kami mulanya positif saja tetapi jadi tidak sedap hati apabila alat sulit Muhammad Adly mula membengkak pada malam hari ketiga selepas klip ditanggalkan pada paginya (16 Disember) di klinik swasta berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Rosnah berkata, doktor di klinik berkenaan ada memberi ubat namun keadaan alat sulit anaknya jadi semakin membengkak dan berdarah.

“Pada waktu itu, saya dan suami menyedari alat sulitnya tenggelam jadi tanpa berlengah, kami terus membawanya ke Hospital Seri Manjung (HSM).

“Pemeriksaan lanjut mendapati alat sulitnya tenggelam dan bahagian kulit (alat sulit) habis dipotong serta anak saya terpaksa dibius bagi membolehkan doktor membersihkan darah beku di wad pembedahan keesokan harinya (17 Disember),” katanya.

Berikutan luka yang tidak sembuh ,Muhammad Adly kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ipoh untuk pembedahan menampal kulit alat sulit.

“Saya dan suami ada bertanya dengan doktor pakar dan dimaklumkan jika sembuh sekalipun, Muhammad Adly kemungkinan perlu menjalani pembedahan dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi bergantung keadaannya.

“Satu lagi kemungkinan adalah alat sulitnya cacat kekal dan sudah tentu kami bimbang memikirkan masa depannya apabila dewasa nanti.

“Kami sudah pergi bersemuka dengan doktor berkenaan namun dia hanya berdiam tanpa memberi alasan dan jawapan meyakinkan,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini Muhammad Adly, Rosnah berkata, anaknya dalam keadaan sedar tetapi masih trauma dengan apa yang berlaku.

Katanya, Muhammad Adly juga akan menjalani satu lagi pembedahan hari ini dan berikutan apa yang terjadi,suaminya sudah membuat laporan di Balai Polis Sitiawan, semalam.

“Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Tujuan saya memuat naik hantaran di Facebook (Fb) tempoh hari bukan untuk memburukkan sesiapa tetapi sekadar meluahkan kekecewaan saja.

“Diharap, perkongsian itu memberi pengajaran kepada ibu bapa di luar sana untuk berhati-hati terutama dalam musim berkhatan ini supaya tidak menerima nasib yang sama,” katanya. – HARIAN METRO