KUALA LUMPUR: Sekolah perlu mengambil bahagian dalam program Kesihatan Pekerjaan Sekolah (KKP) bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan dan kesihatan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pembabitan pelajar adalah perlu kerana mereka bertindak sebagai mata dan telinga bagi pihak pengurusan sekolah.

Katanya, apabila amalan KKP dilaksanakan termasuk menggunapakai konsep pengenalan bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC), pelajar akan segera memaklumkan kepada pihak pentadbiran jika melihat sesuatu yang boleh menimbulkan bahaya kepada mereka dan orang lain.

“Sekolah selamat tidak hanya bermakna bebas daripada masalah disiplin dan jenayah lain seperti buli, gangsterisme dan penyalahgunaan dadah, sebaliknya perlu memastikan semua kemudahan adalah selamat.

“Malah, mereka (pelajar) harus didedahkan kepada budaya keselamatan serta kesihatan baik supaya akan memahami dan mengamalkan konsep berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas insiden bumbung bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Jerangau, Dungun, Terengganu, runtuh minggu lalu. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu,

Lam Thye, berkata program KKP dianggap lebih komprehensif kerana menganggap sekolah sebagai tempat kerja dan tertakluk mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

Katanya, ia bertujuan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja, melindungi orang lain yang turut berada di tempat kerja dan menyediakan persekitaran kerja yang kondusif sesuai dengan keperluan psikologi serta fisiologi pekerja.

Sehingga kini, lebih 50 sekolah menyertai program itu yang diadakan dengan kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan sejak 2015.

Justeru, katanya, NIOSH akan meneruskan usaha membantu mewujudkan kesedaran mengenai KKP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

“Semua tempat kerja mempunyai bahaya dan risiko yang perlu ditangani. Justeru, menjadi tanggungjawab mereka di tempat kerja, termasuk guru dan pelajar di sekolah, mengenal pasti dan mengambil langkah mencegah kemalangan dan kematian,” katanya.

Lam Thye turut menyarankan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pentadbiran sekolah bekerjasama melakukan audit keselamatan untuk tempoh lima tahun sekali bagi sekolah baharu, manakala sekolah yang agak berusia sekali setahun.

“Walaupun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan, kita perlu ingat bahawa kemalangan di sekolah boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian.

“Dalam insiden seorang pelajar Tingkatan 2 terbunuh apabila bilah pisau traktor pemotong rumput terkena kepalanya di padang sekolah di Gemas baru-baru ini, kematian itu boleh dicegah jika pihak bertanggungjawab terhadap keselamatan pelajar mengambil langkah sewajarnya,” katanya – berita harian