KUALA LUMPUR : Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyarankan parti Amanah supaya bertanding dengan menggunakan logo DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti memandangkan parti serpihan itu tidak mempunyai kekuatan di kawasan majoriti Melayu.

Abdul Hadi berkata kemenangan Amanah pada pilihan raya umum lalu kerana sokongan DAP dan bukan atas kekuatan sendiri.

“Amanah pula lebih kepada DAP, sebab itu saya cadang Amanah guna simbol DAP dalam PRU akan datang.

“Pakai simbol DAP untuk sambung talian hayat dia (Amanah), itu lebih penting,” katanya ketika sidang media di Rusila, Marang, hari ini.

Sidang media itu disiarkan di laman sosial Facebooknya.

Beliau berkata, dalam Pakatan Harapan (PH) hanya Bersatu saja yang mempertahankan Melayu dan Islam, namun bilangan kerusi dimenangi parti itu agak kecil.

Jelas MP Marang, PKR dilihat sebagai parti yang mewakili pelbagai kaum, manakala Amanah pula “lebih kepada (mewakili) DAP”.

Amanah ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 2015 oleh bekas pemimpin PAS yang tersingkir dalam pemilihan parti itu.

Parti itu dipimpin oleh bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu selaku presiden dan Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden Amanah.

Pada PRU-14 lalu, parti itu menyertai pilihan raya bersama-sama PH dan berjaya memenangi 12 kerusi Parlimen.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata saranan supaya Amanah bertanding menggunakan logo DAP dibuatnya berdasarkan situasi semasa dan realiti yang berlaku.

Katanya, parti serpihan PAS itu tidak mempunyai kekuatan di kawasan majoriti Melayu khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Tapi dia (Amanah) kuat di kawasan yang ada pengundi DAP, sebab itu lebih baik pakai logo DAP,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Hadi menjelaskan kerjasama parti itu dengan Umno, berkata usaha itu demi mengukuhkan penguasaan orang Melayu dan bumiputera dalam politik negara.

“Kerjasama kita untuk tumpu dominasi Melayu, Islam. Kita kena sedar 70 peratus bumiputera Islam dan bukan Islam adalah mendominasi penduduk.

“Kita tumpu Umno dan PAS dulu, ini parti terbesar orang Melayu Islam,” katanya.

PAS dan Umno dilaporkan dijangka akan memeterai piagam kerjasama antara dua parti itu pada 14 September nanti.