IPOH : Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong dari parti itu, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Setiausahanya, Salman Saleh berkata, mereka juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan tiga lagi ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) turut mengisytiharkan keluar parti.

Menurutnya, tindakan mereka adalah satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang diberikan melalui pilihanraya umum.

“Amanah Perak yakin rakyat terus kekal bersama dengan perjuangan PH dan akan bekerja lebih keras untuk mendapat mandat rakyat melalui pilihan raya yang demokratik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain daripada ADUN Titi Serong, Hasnul juga merupakan Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Ketika sidang media di sebelah pagi, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengumumkan ADUN Kuala Kurau dari PKR yang juga Exco Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaik sahaja sidang media itu, Hasnul bersama-sama seorang lagi Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam, kedua-duanya dari DAP mengumumkan keluar parti menjadi ahli Bebas.

Salman berkata, Amanah Negeri Perak turut kesal apabila mandat rakyat dicabuli ekoran pembentukan kerajaan negeri baharu yang disifatkannya sebagai kerajaan pintu belakang.