IPOH: Pengusaha makanan di negeri ini diberi amaran supaya tidak mengunakan bahan pengawet makanan terlarang atau berlebihan demi mengejar keuntungan ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, antara bahan pengawet tersebut adalah nitrat serta nitrit yang lazimnya digunakan dalam daging proses dan asid benzoik, sorbik dengan borik untuk mengawet mee kuning serta kuey teow.

Kata beliau, kesemua bahan berkenaan adalah dilarang atau dihadkan pengunaanya ke atas makanan tertentu kerana ia boleh memudaratkan kesihatan pengguna termasuk menyebabkan kanser.

“Sekiranya pengunaan nitrat dan nitrit dalam produk daging kilang melebihi paras dibenarkan, ia bakal mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

“Menurut Akta dan Peraturan Makanan 1983, penggunaan asid benzoik dan sorbik pula hanya dibenarkan dalam pemprosesan makanan tertentu sahaja seperti pes cili, produk kacang soy yang ditapai dan buahan-buahan yang dikeringkan pada kadar ditetapkan.

“Namun makanan pasta seperti mee, beehoon, laksa, makaroni, spageti dan hor fun tidak boleh mengandungi bahan pengawet, kerana apabila digunakan secara berlebihan ia boleh menyebabkan kerengsaan perut dan boleh menjejaskan sistem saraf,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Operasi Gou peringkat negeri Perak bersempena Tahun Baru Cina, di sini pada Khamis.

Tambah Mah, bagi asid borik pula, ia lazimnya digunakan untuk kawalan serangga, bahan pengawet kayu serta bidang perubatan justeru dilarang digunakan sebagai bahan pengawet makanan.

“Untuk tahun lalu, daripada 32 sampel yang diambil kita mendapati salah satu daripadanya mengunakan asid borik sebagai pengawet untuk daging, manakala 103 sampel untuk asid benzoik, enam didapati mengunakannya secara berlebihan serta 77 lagi sampel untuk asid sorbik hanya satu didapati melanggar had ditetapkan.

“Kita juga tidak mengesan sebarang kes bagi pengunaan nitrat dan nitrit berlebihan dalam produk daging hasil daripada 52 sampel yang diambil sejak 2015 sehingga 2018,” ujar beliau.

Namun tegas Mah, sekiranya terdapat para peniaga dikesan mengunakan bahan larangan berkenaan khususnya pada musim perayaan ini, mereka boleh dikena tindakan di atas beberapa akta melibatkan denda RM20,000 sehingga RM100,000 atau penjara selama dua hingga lima tahun.

Bercakap mengenai operasi Gou, beliau memberitahu ia bertujuan untuk meningkatkan aktiviti pemantuan terhadap makanan yang dijual di pasaran bagi memastikan ia selamat kepada pengguna serta mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan 1985.

“Pada tinjauan hari ini sahaja kita telah mengambil lebih 10 sampel untuk diperiksa untuk memastikan ia bebas daripada kandungan bahan yang melanggar peraturan.

“Ini bagi memastikan keselamatan makanan sentiasa terpelihara sekali gus melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan dan penipuan,” jelas beliau